Occupy Lagi - Ayuh Anak Muda



Occupy kali ini adalah yang ke-4 yang diadakan di Esplanade Temerloh. Macam biasa menjemput beberapa tokoh negarawan untuk memberikan kata-kata perangsang kepada warga Temerloh dengan tema Ayuh kita mara ke hadapan. Akan diadakan persembahan sajak dan puisi oleh beberapa orang anak Muda bagi menyerikan majlis kali ini. Lepas itu boleh pergi minum dengan YB.

SEKaLi LALu :

Dukacita Occupy kali ini saudara Hishamuddin Rais tak dapat datang kerana ada hal di Mahkamah dan telah menghantar hanya wakil dari MTUC. Ucapannya kali ini bertema HAK PEKERJA dan beliau merupakan seorang peguam dari Kuala Lumpur.

Beberapa petikan tentang Hak Pekerja dari ucapan beliau :


Kekayaan mana-mana negara sekalipun datang daripada hasil kerja kuat golongan pekerja. Rumusannya mudah: Golongan pemodal biasa menuntut pujian dan pengiktirafan kerana mengeluarkan wang yang diperlukan untuk pelaburan. Tetapi hakikatnya ialah apa-apa projek yang dijana tidak mungkin berlaku tanpa sumbangan dan kesanggupan pekerja.

Golongan pekerja lagi ramai (dan oleh itu sebenarnya lebih berkuasa) daripada golongan pemodal. Pemodal lebih memerlukan pekerja daripada pekerja memerlukan pemodal.

Tetapi hakikatnya juga di Malaysia hak pekerja makin lama makin dikecilkan. Perubahan yang dicadang kepada Employment Act 1955 baru-baru ini akan mengizinkan pemodal untuk lari daripada tanggungjawab memelihara kebajikan pekerja mereka.

Jika perubahan itu diterima, pemodal boleh "menyewa" pekerja dari "third party contractor". Hal ini membebaskan pemodal daripada tanggungjawab mentaati amanah mereka untuk menjaga kebajikan dan hak-hak perkerja-pekerja yang menjanakan kekayaan syarikat korporat peribadi itu.

Tambahan pula, pekerja yang diambil dalam syarat kontrak tersebut dilarang dari menyertai kesatuan pekerja.

Semangat anti-demokrasi perubahan itu memang ketara: suara, hak dan kebajikan pekerja (yang ramai) akan hilang sekaligus, sementara tuntutan pemodal (yang jumlahnya sedikit) disanjung.

Hak Pekerja Hak Asasi Manusia

Pekerjaan bukan setakat cari makan atau terima gaji. Realitinya, jumlah masa dan usaha yang disalurkan untuk bekerja membentuk watak, keperibadian dan kesihatan kita, dan menentukan apa-apa masa (biasanya sedikit) yang tinggal untuk kita bersama keluarga, masyarakat dan apa-apa aktiviti-aktiviti sebenarnya yang kita suka.

    Hak pekerja, ialah hak asasi, bukan sahaja kerana kerja itu mata pencarian kita, tetapi kerana kerja kita merangkumi masa yang banyak dan menyentuh, secara mendalam, aspek-aspek lain yang menentukan nilai dan sifat kewujudan kita.

Kata Saya : Hak Pekerja Dalam Islam

Perspektif yang ada di dalam Qur’an: Perkataan amal digunakan dalam al-Qur’an untuk merujuk kepada ibadah (35:7), sikap (99:7-8) dan pekerjaan (18:79, 36:35). Perkataan itu juga dikaitkan dengan secara langsung dengan tema-tema aqidah dan iman dalam Islam.

Islam mengakui bahawa kerja yang dilakukan hari-hari tidak boleh diasingkan daripada hal hal kehidupan dan ibadat. Kerja merangkumi watak kita secara keseluruhan.

Justeru itu amal salih melingkari aktiviti hidup secara total.

Logiknya jelas dan tetap: semua kekayaan yang ada di dunia ini datang daripada Allah. Kerja kuat pekerja adalah satu cara kekayaan ini diusahakan untuk digunakan dengan cara yang adil. Pemodal dan syarikat-syarikat besar yang menganggap kekayaan itu hasil usaha peribadi sendiri ialah satu tanggapan yang salah.


PENUTUP :

Kemudian kami disajikan persembahan nyanyian dari Busking Anak Muda berupa lagu-lagu puisi sebagai selingan. Bacaan sajak dari seorang pakcik tua bertajuk "UMNO dah Tua". Akhir sekali seorang pemuda dari Poland telah dijemput untuk memberikan sedikit penerangan tentang apa yang berlaku suasana di Eropah. Takut rasanya hendak kesana kerana susana peperangan masih menghantui orang Eropah. Seorang lagi dijemput untuk memberikan ucapan ialah saudara En. Nizam dari PKR Temerloh sebagai translator. Sekian untuk ulasan kali ini.