Aku dan Pak Zam


Genaplah tahun keempat puluh dua rusuhan kaum yang menjadi sejarah hitam Negara. Aku masih lagi di sini. Selepas pemergian ayah dan ibu sepuluh tahun yang lalu, aku bahagia di samping keluarga Melayu di pekan yang menemukan aku dan Pak Zam serta suasana harmoni lapisan bangsa. Pak Zam sudah lama menemui Tuhan ekoran penyakit lemah jantung yang dihadapi. Aku begitu selesa dengan kehidupan bersama-sama bangsa lain. Perhubungan itu menjadi lebih erat apabila disusuli kemesraan, tambahan perkahwinanku dengan anak Pak Zam menjadi pelengkapnya. Itulah nikmat yang dikatakan Pak Zam ketika lewat perbualan arwah ayah dengannya.

Khabar Embun tidak lagi aku ketahui sehingga kini. Kali terakhir aku bertemu dengannya sewaktu aku berada di menara gading. Embun juga berjaya melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka. Aku tidak mahu meratap perpisahan yang melangkaui persahatan antara Aku dengan Embun. Keeratannya terlerai dek hasutan dakyah siasah yang berbeza dan kebimbangan yang menaungi seluruh warga kampung itu. Tetapi, aku akan lebih bersedih sekiranya kesepaduan antara masyarakat terisi dengan anasir hitam yang dicipta oleh anggotanya sendiri.

Haluan yang bersimpang menyebabkan pergolakan demi pergolakan akan timbul. Biarlah rusuhan kaum yang berlaku dahulu menjadi pedoman kepada sang penguasa yang berkuasa dan rakyat yang mempunyai suara.