Punk Rock di Mentakab

Hishamuddin Rais
Bagaimana kalau anak muda ini  dilahirkan di Busut Jin Temerloh, atau di Tanjung Kerayong  Mentakab atau di Jerantut. Apakah anak muda ini  akan merasa kecewa kerana  tidak dilahirkan di Manchester, Liverpool atau di Brixton London.  Alangkah indahnya dunia anak-anak  muda jika mereka hidup muda sebebas kawan-kawan  mereka di Berlin, di Amsterdam  atau di Madrid. Tetapi hakikatnya  bukan tempat kelahiran yang menjadi kunci untuk merayakan kemudaan. Kuncinya hanyalah — mahu atau tidak mahu.

Pada petang Tahun Baru China  dalam perjalanan pulang dari Pantai Balok Kuantan , kereta yang  aku naiki  berhenti di lampu merah  di persimpangan pekan Mentakab. Di sebelah kiri di tembok jalan kelihatan  satu kumpulan anak muda berbaju t hitam. Mendongak ke  tingkap bangunan aku ternampak  seorang anak gadis  melambai-lambai. Kereta diberhentikan dan aku memanjat tangga.

Dengan tiket berharga  Rm 7.50 aku dibenarkan masuk tanpa dipaksa menunjukkan kad  pengenalan.  Hampir 70 orang anak muda  sedang berpesta menyambut  Tahun Naga. Ada yang berdiri dan ada  yang tersandar letih di dinding. Tidak ada yang bersembang mesra.

Dalam pesta punk rock ini, kumpulan anak muda meloncat, mengambur dan menjerit-jerit dalam …
Musik sedang rancak. Sebuah band punk rock — tiga  gitar satu gendang dan seorang penyanyi sedang beraksi.  Band bermain musik  dilantai tanpa pentas. Dalam dewan  seluas bilik darjah ini  menjadikan  petikan  gitar dan pukulan gendang bergema hingga menggegarkan dada.  Suara manusia tenggelam. Musik yang bagitu kuat hinggakan  pantulan bunyi ini boleh mengoncang tembok dinding.  Sedozen anak muda sedang meloncat,  mengambur dan menjerit-jerit dalam satu tarian yang penuh bertenaga. Ini pesta punk rock.

"AFK  ialah Acai  Fifi Kasha" Dia menjeritkan jawapan ke telinga  aku. "Ini studio kawan saya. Ada enam band bermain untuk gig petang ini.  Gig mula jam 3 petang.  Kami datang dari banyak tempat. Ada dari Jerantut,  Temerloh dan yang paling banyak dari sini..Mentakab...studio ini tempat lepak."
Kumpulan pemuda-pemudi ini berpesta mengikut motto 'punk rock' seperti yang tertulis dibaju.

Bayangkan apa jenis musik yang  dimainkan oleh band dengan nama-nama seperti  Attacking Business, Kill The Rock Star, Nana, Pop Up Peace, Metal Pisik dan Trotter Groc.  Kugiran Pop Yeah Yeah  tahun 60'an  seperti   The Rythmn Boys,  Siglap Five  atau De Fictions, Les Remaja pasti akan   tutup kedai apabila punk rock sampai.

Underground gig bukan satu  yang asing.  Adalah kesilapan besar jika menganggap hanya  di Kuala Lumpur  atau di Pulau Pinang wujudnya  underground gig.  Musik underground ini adalah sebahagian dari   budaya ' counter culture' yang berkembang selari dengan budaya arus perdana.  Budaya counter culture ini adalah  budaya anak-anak muda yang bangun melawan. Mereka bangun untuk melawan -   gaya, tempo, rhytmn, dan bunyi suara musik 'main stream' yang mereka anggap poyo.

Hari ini ada beribu-ribu lagi band bawah tanah  dari   Dungun hingga ke Denver, dari Semenyih hingga ke San Francisco — dari  Melbourne hingga ke  Madrid, dari Gaza  hingga ke Moscow — malah dimana saja dalam dunia ini kita akan bertemu dengan punk rock.  Punk rock bukan lagi milik  anak muda kota London. Punk rock telah di demokratikan untuk dimiliki oleh anak muda semua bangsa. Malah di Kathmandu Nepal pun telah ada  kumpulan punk rock.

Berhati-hati - punk rock ini macam satu gerakan agama — memiliki banyak mazhab. Ada punk pop, ada punk hardcore, ada punk metalcore, ada  punk trash , ada trash metal dan dan dan.  Jalur-jalur ini memisahkan antara satu band dengan yang lain. Sang peminat punk rock akan  mengetahui semua jalur dan ciri-ciri band kesayangan mereka  seperti seorang lebai mengetahui  Sifat Dua Puluh.
Genre punk rock ini adalah genre muzik yang memiliki tenaga yang ampuh lagi mengancam.  Tenaga ini adalah tenaga anak muda. Bila anak muda bertemu dengan gitar, drum set dan dikahwinkan dengan teknoloji moden — pelbagai kemungkinan akan berlaku. Muzik punk  ini mengancam  dan berkemungkinan  meruntuhkan dunia lama. Seperti kata saya " Saya main musik ikut rasa hati."  Punk rock ialah hati, perasaan  dan sanubari anak-anak muda.

Sebelum meninggalkan Mentakab    aku  mengucapkan terima kasih kepada lampu merah di persimpangan jalan. Jika tidak kerana lampu merah itu tidak mungkin aku singgah di Mentakab dan mendengar musik  grind core dan metal hardcore untuk menyambut kedatangan Tahun Naga.

Petikan kata-kata punk dari Hishammudin Rais untuk scene Temerloh/Mentakab 
yang diambil oleh Pacat dari :