Genaplah tahun keempat puluh dua rusuhan kaum yang
menjadi sejarah hitam Negara. Aku masih lagi di sini. Selepas pemergian ayah
dan ibu sepuluh tahun yang lalu, aku bahagia di samping keluarga Melayu di pekan
yang menemukan aku dan Pak Zam serta suasana harmoni lapisan bangsa. Pak Zam
sudah lama menemui Tuhan ekoran penyakit lemah jantung yang dihadapi. Aku
begitu selesa dengan kehidupan bersama-sama bangsa lain. Perhubungan itu
menjadi lebih erat apabila disusuli kemesraan, tambahan perkahwinanku dengan
anak Pak Zam menjadi pelengkapnya. Itulah nikmat yang dikatakan Pak Zam ketika
lewat perbualan arwah ayah dengannya.
Khabar Embun tidak lagi aku ketahui sehingga kini.
Kali terakhir aku bertemu dengannya sewaktu aku berada di menara gading. Embun
juga berjaya melanjutkan pelajaran di universiti terkemuka. Aku tidak mahu
meratap perpisahan yang melangkaui persahatan antara Aku dengan Embun.
Keeratannya terlerai dek hasutan dakyah siasah yang berbeza dan kebimbangan
yang menaungi seluruh warga kampung itu. Tetapi, aku akan lebih bersedih
sekiranya kesepaduan antara masyarakat terisi dengan anasir hitam yang dicipta
oleh anggotanya sendiri.