"Semua
pihak tanpa mengira agama, parti dan kaum hendaklah menyatakan
bantahan mereka terhadap budaya kotor dan jelek di kalangan politik
dan media di negara ini. "Kita menentang budaya politik dan politik selak
kain." Berikut itu, semua politik tanpa mengira parti hendaklah menghentikan amalan mendedahkan aib
peribadi musuh politik yang bukan membabitkan kezaliman terhadap
rakyat.
"Ia adalah amalan jijik dan kotor. Amalan ini hendaklah dihentikan
segera. Ia dosa dan jijik; sama ada kerana memfitnah, ataupun
mendedah aib peribadi orang. "Ia bukan lambang kekuatan
minda pendedah tersebut, sebaliknya hanyalah sekadar mengambil
kesempatan dari kelemahan orang lain atau setelah memangsakan orang
lain."
Perbuatan ini hendaklah tidak disebarkan
kepada masyarakat awam negara ini, kerana ia akan menyebabkan
generasi baru terkesan dengan nilai-nilai negatif. "Maka
orang politik hendaklah bersopan dalam bahasa dan pertuturan. Mereka
hendaklah bersih dari unsur-unsur kotor yang merupakan lambang
pemikiran yang selekeh dan peribadi yang rendah. Mereka menjadi
contoh kepada rakyat. Namun, sopan tidak menafikan ketegasan."
Media pula, tegasnya, hendaklah menjadi wacana yang
bermaruah, bukan penyumbang atau penggalak kepada budaya kotor dalam politik. Media yang menggalakkan fitnah, atau
pendedahan pelbagai unsur hendaklah dipulau oleh masyarakat
bermaruah. "Ahli politik yang kita mahu ialah mereka yang
mampu mencetuskan idea ke arah kebaikan negara, mampu memimpin rakyat
dengan pemikiran yang bernas dan menzahirkan nilai-nilai diri yang
positif.
"Mereka yang kontang idea, tiada nilai karismik
dalam kepimpinan, gersang nilai budi dan adab hendaklah diusir dari
pentas politik. "Mereka yang sebeginilah yang akan
cenderung mencari kelemahan peribadi musuh disebabkan gagal membina
kekuatan diri." Oleh itu, rakyat
hendaklah bangkit menentang semua bentuk kezaliman dan penindasan
hak, tanpa mengira agama, kaum dan parti. "Bebas dari
fanatik kepartian, tetapi menjadi manusia yang berprinsip dalam
menegakkan kebenaran."