|
Hishamuddin Rais |
Bagaimana kalau anak muda ini dilahirkan di Busut Jin
Temerloh, atau di Tanjung Kerayong Mentakab atau di Jerantut.
Apakah anak muda ini akan merasa kecewa kerana tidak
dilahirkan di Manchester, Liverpool atau di Brixton London.
Alangkah indahnya dunia anak-anak muda jika mereka hidup muda
sebebas kawan-kawan mereka di Berlin, di Amsterdam atau
di Madrid. Tetapi hakikatnya bukan tempat kelahiran yang
menjadi kunci untuk merayakan kemudaan. Kuncinya hanyalah — mahu
atau tidak mahu.
Pada petang Tahun Baru China dalam perjalanan pulang dari
Pantai Balok Kuantan , kereta yang aku naiki berhenti di
lampu merah di persimpangan pekan Mentakab. Di sebelah kiri di
tembok jalan kelihatan satu kumpulan anak muda berbaju t hitam.
Mendongak ke tingkap bangunan aku ternampak seorang anak
gadis melambai-lambai. Kereta diberhentikan dan aku memanjat
tangga.
Dengan tiket berharga Rm 7.50 aku dibenarkan masuk tanpa
dipaksa menunjukkan kad pengenalan. Hampir 70 orang anak
muda sedang berpesta menyambut Tahun Naga. Ada yang
berdiri dan ada yang tersandar letih di dinding. Tidak ada yang
bersembang mesra.
Dalam
pesta punk rock ini, kumpulan anak muda meloncat, mengambur dan
menjerit-jerit dalam …
Musik sedang rancak. Sebuah band punk rock — tiga gitar
satu gendang dan seorang penyanyi sedang beraksi. Band bermain
musik dilantai tanpa pentas. Dalam dewan seluas bilik
darjah ini menjadikan petikan gitar dan pukulan
gendang bergema hingga menggegarkan dada. Suara manusia
tenggelam. Musik yang bagitu kuat hinggakan pantulan bunyi ini
boleh mengoncang tembok dinding. Sedozen anak muda sedang
meloncat, mengambur dan menjerit-jerit dalam satu tarian yang
penuh bertenaga. Ini pesta punk rock.
"AFK ialah Acai Fifi Kasha" Dia menjeritkan
jawapan ke telinga aku. "Ini studio kawan saya. Ada enam
band bermain untuk gig petang ini. Gig mula jam 3 petang.
Kami datang dari banyak tempat. Ada dari Jerantut, Temerloh dan
yang paling banyak dari sini..Mentakab...studio ini tempat lepak."
Kumpulan
pemuda-pemudi ini berpesta mengikut motto 'punk rock' seperti yang
tertulis dibaju.
Bayangkan apa jenis musik yang dimainkan oleh band dengan
nama-nama seperti Attacking Business, Kill The Rock Star, Nana,
Pop Up Peace, Metal Pisik dan Trotter Groc. Kugiran Pop Yeah
Yeah tahun 60'an seperti The Rythmn Boys,
Siglap Five atau De Fictions, Les Remaja pasti akan
tutup kedai apabila punk rock sampai.
Underground gig bukan satu yang asing. Adalah
kesilapan besar jika menganggap hanya di Kuala Lumpur atau
di Pulau Pinang wujudnya underground gig. Musik
underground ini adalah sebahagian dari budaya '
counter culture' yang berkembang selari dengan budaya arus
perdana. Budaya counter culture ini adalah budaya
anak-anak muda yang bangun melawan. Mereka bangun untuk melawan -
gaya, tempo, rhytmn, dan bunyi suara musik 'main
stream' yang mereka anggap poyo.
Hari ini ada beribu-ribu lagi band bawah tanah dari
Dungun hingga ke Denver, dari Semenyih hingga ke San Francisco —
dari Melbourne hingga ke Madrid, dari Gaza hingga
ke Moscow — malah dimana saja dalam dunia ini kita akan bertemu
dengan punk rock. Punk rock bukan lagi milik anak muda
kota London. Punk rock telah di demokratikan untuk dimiliki oleh anak
muda semua bangsa. Malah di Kathmandu Nepal pun telah ada kumpulan
punk rock.
Berhati-hati - punk rock ini macam satu gerakan agama — memiliki
banyak mazhab. Ada punk pop, ada punk hardcore, ada punk metalcore,
ada punk trash , ada trash metal dan dan dan. Jalur-jalur
ini memisahkan antara satu band dengan yang lain. Sang peminat punk
rock akan mengetahui semua jalur dan ciri-ciri band kesayangan
mereka seperti seorang lebai mengetahui Sifat Dua Puluh.
Genre punk rock ini adalah genre muzik yang memiliki tenaga yang
ampuh lagi mengancam. Tenaga ini adalah tenaga anak muda. Bila
anak muda bertemu dengan gitar, drum set dan dikahwinkan dengan
teknoloji moden — pelbagai kemungkinan akan berlaku. Muzik punk
ini mengancam dan berkemungkinan meruntuhkan dunia
lama. Seperti kata saya " Saya main musik ikut rasa
hati." Punk rock ialah hati, perasaan dan sanubari
anak-anak muda.
Sebelum meninggalkan Mentakab aku mengucapkan
terima kasih kepada lampu merah di persimpangan jalan. Jika tidak
kerana lampu merah itu tidak mungkin aku singgah di Mentakab dan
mendengar musik grind core dan metal hardcore untuk
menyambut kedatangan Tahun Naga.
Petikan kata-kata punk dari Hishammudin Rais untuk scene Temerloh/Mentakab
yang diambil oleh Pacat dari :
Hishamuddin Rais | Yahoo! Malaysia Newsroom – Mon, Jan 30, 2012